Banjir: Enggan susahkan keluarga, pasangan warga emas pilih berteduh di tempat letak kereta

Firdaus Azil
Januari 5, 2022 16:20 MYT
Tinjauan Astro AWANI mendapati, rumah Minah dan Musa, telah dinaiki air sehingga 1.5 meter, dan air masih belum surut walaupun cuaca cerah sejak dua hari lepas. - Foto Astro AWANI
SEGAMAT: Enggan menyusahkan ahli keluarga terdekat, sepasang suami isteri warga emas memilih untuk tinggal di bawah bumbung tempat letak kereta, di sebelah rumah mereka yang dinaiki air.
Minah Mohamed,59, berkata, walaupun adiknya menawarkan kepada mereka untuk berteduh sementara, namun dia merasakan lebih selesa untuk tinggal di tempat letak kereta itu.
Katanya lagi, buat masa ini dia dan anaknya, Ridzuan Musa, telah mengalihkan katil dan kipas ke tempat letak kereta itu untuk memastikan suaminya, Musa Yaakob, 73, selesa.
“Walaupun adik saya suruh duduk di rumahnya, tetapi tak apa lah. Lagi pun kami dah cukup bersyukur tempat letak kereta dia pun ada. Jadi kami dah pasang kelambu sekeliling untuk elak nyamuk.
“Kalau ada nyamuk juga, sama ada kami bakar ubat nyamuk, ataupun bekas telur ayam,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kampung Bukit Limau Manis, di sini hari ini.
Minah berkata, dirinya cuma khuatir dengan tahap kesihatan suaminya, yang mengalami pelbagai jenis penyakit termasuk masalah jantung, kencing manis, dan darah tinggi.
SEMUA MAKLUMAT BERHUBUNG BANJIR 2021 DI SINI
Tinjauan Astro AWANI mendapati, rumah Minah dan Musa, telah dinaiki air sehingga 1.5 meter dan air masih belum surut walaupun cuaca cerah sejak dua hari lepas.
Faktor lokasi yang terletak di pertembungan laluan air antara Sungai Muar dan Sungai Chodan, menjadikan sebahagian besar Kampung Bukit Sungai Limau, dinaiki air.
Dalam pada itu, Ridzuan berkata, beliau terpaksa meninggalkan anak dan isterinya buat sementara waktu di kediaman mereka di Labis, ekoran risau dengan keadaan rumah ibu bapanya.
“Masa 31 haribulan hari tu, hujan dah mula turun lebat, dan saya pun ambik keputusan balik ke sini dengan kereta untuk membantu apa yang patut.
“Sebab ayah (Musa) nelayan, jadi dia kata macam ada tanda-tanda air nak naik. Biar pun terkandas sebab banjir di sini, saya bersyukur ada pada waktu yang tepat untuk tolong mak dengan ayah,” katanya lagi.
Ridzuan berkata, dia dah ibu bapanya sudah membeli barang keperluan asas sebelum banjir melanda, sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain itu, dia berkata, bantuan makanan dan keperluan asas dari badan-badan bukan kerajaan juga sedikit sebanyak membantu mereka harungi kehidupan sementara menunggu banjir surut.
#Tragedi banjir 2021 #warga emas selamatkan diri dari banjir #Minah Mohamed #Musa Yaakob
;