Banjir: Enam sekeluarga terperangkap 8 jam atas lori

Nur Fazlizai Ali
Mac 4, 2022 06:45 MYT
Lori di mana Radziah terperangkap hampir lapan jam bersama suami dan empat anaknya. -Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Terkandas di atas lori hampir lapan jam bersama suami dan empat anak adalah pengalaman menakutkan bagi seorang suri rumah selepas rumah mereka di Kampung Menerong, di sini, ditenggelami banjir hampir 3 meter.
Menurut Radziah Sulaiman, 43, lebih membimbangkan suaminya Kamarulzaman Abdul Manan, 42, dan anak ketiganya berisiko diserang penyakit asma kronik akibat kesejukan melampau.
Jelasnya, pelbagai cara dilakukan untuk meminta bantuan gagal ekoran keseluruhan kawasan kampung itu ditenggelami air.
"Ini pertama kali dalam seumur hidup kak buat live FB. Kak tak pernah buat live. Kak tanya anak macam mana nak buat live FB.
"Mama nak minta tolong orang luar. Mana tahu kalau ada orang tengok live mama ni boleh tolong.
"Sebab kampung kita memang tak boleh, orang kampung kita semua dalam masalah," kata Radziah.
Menurutnya lagi, walaupun sering berdepan bencana banjir sejak 16 tahun lalu, namun kejadian kali ini adalah yang paling menakutkan.
"Kami duduk atas kenderaan ini memang menggigil kesejukan, kelaparan dari pagi. Nak makan minum memang dak sempat sebab jadi dari pagi.
"Dalam pukul 5 lebih baru ada orang kampung mari tolong dengan bot.
"Sebelum itu ada jiran berenang ke rumah dia ketika air mulai surut, ambil tin biskut yang terapung dan campak satu kepada kami," katanya lagi.
Radziah berkata, sebahagian dinding rumahnya yang dalam proses pembinaan turut runtuh dibadai arus deras banjir.
Terdahulu video berdurasi 4.13 saat yang memaparkan situasi Radziah dan keluarganya terperangkap di atas lori mendapat perhatian orang ramai di media sosial.
Dia sekeluarga kemudiannya berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung selepas air mulai surut.
#banjir #terperangkap atas lori #Radziah Sulaiman #Kampung Menerong
;