Banjir: Empat negeri terkesan, Sabah paling terjejas - Armizan
Hasimi Muhamad
Januari 28, 2023 14:13 MYT
Januari 28, 2023 14:13 MYT
KUALA LUMPUR: Sabah menjadi negeri yang paling teruk terkesan akibat banjir yang berlaku susulan Monsun Timur Laut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata seramai 10,312 melibatkan 3,564 keluarga di lima daerah di negeri itu terjejas setakat Jumaat.
Lima daerah tersebut ialah iaitu Paitan, Pitas, Kota Marudu, Telupid dan Tawau dengan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Selain Sabah, Armizan berkata tiga lagi negeri yang turut terkesan ialah Johor melibatkan enam daerah; manakala Pahang dan Terengganu masing-masing satu daerah, dengan jumlah keseluruhan mangsa ialah 14,012 orang daripada 4,596 keluarga yang berada di 73 PPS.
"Sementara itu, sejak bermulanya MTL musim ini seawal bulan Oktober sehingga 27 Januari, jumlah keseluruhan mangsa banjir dan air pasang besar yang berpindah ke PPS di Sabah adalah seramai 13,480 orang daripada 4,675 keluarga dengan melibatkan pembukaan 70 PPS," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ahli Parlimen Papar itu menambah, daripada lima daerah di Sabah, Kota Marudu merupakan kawasan yang paling teruk dilanda banjir dengan merekodkan sebanyak 7,358 mangsa daripada 2,553 keluarga, dan ditempatkan di 12 PPS.
"Secara keseluruhannya, pengurusan bencana banjir di daerah Kota Marudu berjalan dengan baik dengan kerjasama rapat semua agensi berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri.
"Seperkara yang menjadi perhatian saya adalah pelaksanaan kali pertama penyediaan makanan dengan teknologi retort sebagai juadah awal untuk para mangsa banjir di PPS.
"Penggunaan retort food ini adalah langkah alternatif kepada penyediaan makanan secara konvensional untuk para mangsa yang baru tiba di PPS.
"Pendekatan ini amat bersesuaian untuk memastikan makanan dapat disediakan dengan segera kepada para mangsa yang baru tiba, selain menjamin kualiti makanan dari aspek kebersihan, keselamatan dan khasiat," katanya.
Bagaimanapun, mengambil kira pelaksanaan masih dalam peringkat rintis, penyediaan retort food, kata Armizan, masih terhad dan belum meliputi semua PPS sehingga menyebabkan pihak menerima beberapa aduan kelewatan penyediaan makanan untuk mangsa.
Dalam pada itu, Armizan berkata negara kini dilanda episod hujan lebat berterusan ketiga yang bermula sejak 19 Januari lalu, dengan luruan monsun dijangka berterusan sehingga 4 Februari.
Katanya, ramalan cuaca menunjukkan hujan berterusan dijangka tertumpu di timur Semenanjung dan Sabah.
"Sementara itu, sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini, MTL musim ini (2022/2023) yang telah bermula pada awal bulan November 2022 dijangka akan berlarutan sehingga bulan Mac 2023," katanya lagi.