Banjir: Dua wanita berpaut pada pokok kelapa sawit ketika arus deras

Norfarhiza Mohd Atar
Disember 9, 2022 10:31 MYT
Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari menghantar barang di kawasan berkenaan sebelum terperangkap di dalam banjir. - Foto JBPM
LIPIS: Berpantang maut sebelum ajal. Demikian situasi yang dihadapi oleh dua sahabat apabila terpaksa berpaut pada pokok kelapa sawit akibat arus deras di Ladang Kurnia, Jalan Sungai Koyan-Felda Tersang di sini malam tadi.
Difahamkan mangsa yang merupakan wanita warga tempatan masing-masing berusia 36 dan 43 tahun itu terpaksa berpaut hampir 20 minit sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Koyan.
Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari menghantar barang di kawasan berkenaan sebelum terperangkap di dalam banjir.
Mangsa dikatakan telah bertindak keluar dari kereta yang dinaiki mereka untuk meminta bantuan disebabkan air banjir yang naik secara mendadak serta berarus.
Ketua Zon 3 Bomba Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.01 malam tadi sebelum sepasukan lapan anggota dari BBP Sungai Koyan bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 9.13 malam, anggota bomba mendapati terdapat dua wanita sedang berpaut pada pokok kelapa sawit ekoran terperangkap di dalam banjir berarus deras dengan kedalaman kira-kira dua meter dan jarak ke mangsa sekitar 20 meter.
"Setelah membuat penilaian risiko, pasukan bomba bertindak berenang dengan menggunakan tali dan peranti pengapungan peribadi (PFD) bagi membuat 'angker' pokok ke pokok.
" Ini bagi memudahkan membawa mangsa keluar dengan menggunakan tali dan kedua-dua mereka berjaya dikeluarkan dari kawasan banjir dengan selamat,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, penduduk diminta lebih berhati-hati dan bersiap siaga menghadapi banjir berikutan hujan lebat sering berlaku semasa Monsun Timur Laut.
Anggota bomba bertindak menyelamatkan dua wanita yang sedang berpaut pada pokok kelapa sawit ekoran terperangkap di dalam banjir berarus deras di Ladang Kurnia, Jalan Sungai Koyan-Felda Tersang di sini malam tadi.
#Banjir Lipis #Felda Tersang #berpaut pada pokok #bomba Sungai Koyan