MELAKA: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) mula ditutup di Melaka selepas beberapa mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

Situasi itu menjadikan jumlah mangsa di negeri itu berkurang kepada 718 mangsa membabitkan 158 keluarga yang masih berada di sembilan PPS berbanding 11 PPS pada sebelah pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, dua PPS yang ditutup itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim Jelatang di daerah Alor Gajah.

“Sebelum ini daerah Alor Gajah merupakan yang paling teruk terjejas dan sehinga hari ini hanya lima PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, SK Belimbing Dalam, SMK Lubok Cina, balairaya Kampung Paya Lebar dan surau Sri Jeram.

“Di Melaka Tengah, tiga PPS masih dibuka iaitu di balairaya Kampung Tanah Merah, SK Krubong dan SK Taman Merdeka yang membabitkan keseluruhan 325 mangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di daerah Jasin pula, sebuah PPS masih dibuka iaitu di SK Parit Penghulu yang menempatkan 54 mangsa daripada 11 keluarga sekali gus menjadikan semua daerah di negeri itu terjejas dengan bencana banjir.

Katanya, di daerah itu sebanyak empat kampung terjejas iaitu Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Lubuk Kasau dan Tanjung Labuh.

Bagaimanapun, jumlah mangsa yang terlibat dijangka berkurangan memandangkan cuaca baik sejak petang semalam.