Banjir: Dua PPS dibuka di Trolak, tempatkan 41 mangsa

Abd Razak Mohd Ali
September 17, 2023 06:45 MYT
Antara mangsa yang ditempatkan di PPS susulan banjir kilat. - Foto APM
TANJUNG MALIM: Hujan lebat yang berlaku pada sebelah petang Ahad menyebabkan beberapa buah rumah di sekitar Trolak dilanda banjir kilat.
Dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Semai Bakti Felda Trolak Selatan dan Dewan SRJK Tamil Pekan Trolak bagi menempatkan 41 mangsa dari 11 buah keluarga.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Batang Padang, PPS Dewan Semai Bakti dibuka pada 7.55 malam bagi menempatkan 19 mangsa dari empat keluarga.
Katanya, PPS Dewan SRJK Tamil pula dibuka kira-kira jam 8.30 malam bagi menempatkan 22 mangsa dari tujuh keluarga di Kampung Batu 4, Pekan Trolak.
“Hujan berterusan menyebabkan air sungai melimpah ke kawasan perumahan,” katanya di sini, malam tadi.
Menurutnya, terdapat 15 buah rumah di Jalan Felda Trolak Selatan terlibat dan banjir di lapan buah daripadanya telah surut sepenuhnya.
Cuaca dilaporkan baik dan keadaan paras air semakin menurun.
#banjir kilat #PPS #APM #Jalan Felda Trolak Selatan
;