Banjir: Dua lagi mangsa lemas di Kelantan, Terengganu
Muhafandi Muhamad, Nur Fazlizai Ali
Mac 1, 2022 20:51 MYT
Mac 1, 2022 20:51 MYT
KUALA LUMPUR: Dua lagi mangsa lemas ditemui dalam kejadian banjir di Kelantan dan Terengganu, hari ini, menjadikan keseluruhan korban bencana itu seramai enam orang, sehingga kini.
Di PASIR MAS, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata mayat Ahmad Faizal Zulkifli, 26, ditemui berhampiran rumahnya yang dinaiki air di Kampung Kubang Jejuluk di sini, jam 1.20 tengah hari.
"Dari laporan keluarga, mangsa kurang sihat semasa kejadian dan dikatakan tergelincir jatuh di kawasan perkarangan rumah pada 27 Februari lalu sebelum hilang dihanyutkan arus deras pada waktu itu.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan bomba namun gagal menemuinya sehinggalah jasadnya ditemukan berhampiran perkarangan rumahnya hari ini.
"Kawasan itu adalah tidak jauh dari tempatnya dilaporkan tergelincir sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan dan keperluan sumbangan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Kampung Tasik Permai di sini, petang tadi.
Setakat ini, Kelantan merekodkan empat kematian akibat banjir termasuk seorang warga emas berusia 70 tahun pada 27 Februari lalu,selain dua remaja berusia 13 dan 15 tahun, semalam.
Sementara itu, di KEMAMAN, misteri kehilangan lelaki warga emas terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam alur limpahan banjir berhampiran Balai Polis Pasir Gajah, di sini, jam 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat Rahim Deraman, 69, dijumpai orang awam kira-kira dua kilometer dari rumahnya, selepas banjir surut.
Katanya, laporan polis dibuat keluarga mangsa apabila menyedari kehilangannya petang semalam.
"Usaha pencarian yang dijalankan serta-merta gagal mengesan mangsa berikutan kawasan balai dan kampung terbabit ditenggelami air banjir.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut Hanyan, mangsa adalah korban kedua akibat banjir di Terengganu kali ini.
Semalam, seorang pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Alimi Hashim menjadi korban kedua ketika bermain air di belakang rumahnya di Kampung Cheneh Baru di sini.