Banjir: Dua ibu terpaksa berpantang di PPS

Sinar Harian
Januari 3, 2022 07:30 MYT
Nik Azrin Natasha bersama ibu mertuanya dan bayi yang baharu dilahirkan ketika ditemui di PPS SK Krubong. -Foto Sinar Harian
MELAKA: Dua wanita termasuk seorang ibu muda terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong selepas kediaman mereka dinaiki air.
Nik Azrin Natasha Nik Ibrahim,20, bersama bayinya Nur Alia Umayrah Umar Qayyum berusia sebelas hari dipindahkan ke PPS sejak Ahad lalu apabila kediaman mereka di Kampung Lanjut Manis, Krubong banjir.
Nik Azrin ketika ditemui reda dan menganggap ujian berpantang di PPS itu satu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.
Ibu muda itu juga bersyukur kerana dia dijaga dengan baik oleh ibu mertuanya, Rosita Osman, 58.
"Alhamdulillah, walaupun tinggal di PPS namun ada emak dan ahli keluarga lain yang membantu menguruskan bayi saya," katanya yang berasal dari Taman Merdeka.
Bagi Rosita, banjir kali ini lebih teruk berbanding 18 Disember lalu dan sudah biasa dipindahkan di PPS.
"Walaupun berada di PPS tetapi saya boleh memantau kesihatan menantu dan cucu kerana bersalin secara pembedahan sukar untuk bergerak," katanya.
Rosita memberitahu, menantunya mungkin selesa jika dihantar di hotel tetapi sukar untuk mengurus diri dan anak-anak kerana tiada sesiapa yang boleh membantu.
Bagi kerani, Awadah Fatin Md Baseri, 27, walaupun kurang selesa berbanding berpantang di rumah namun dia bersyukur ramai yang prihatin termasuk kakak ipar yang turut sama berpindah ke PPS banyak membantu.
Awadah yang berasal dari Langkawi, Kedah memberitahu, dia dipindahkan ke PPS bersama tiga anak termasuk bayi perempuan berusia 14 hari dengan menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Saya tidak menyangka terpaksa berpantang di PPS tetapi syukur kami sekeluarga selamat dan berharap dapat pulang segera ke rumah," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin mencadangkan dua wanita itu berpindah ke hotel bagi keselamatan bayi yang baru dilahirkan itu tetapi terpulang kepada keselesaan mereka.
*Berita asal di Sinar Harian
#banjir #ibu muda #berpantang di PPS #sk krubong
;