Banjir dijangka landa Terengganu hujung bulan ini

Sinar Harian
Oktober 13, 2021 08:27 MYT
Terengganu dijangka mula dilanda banjir hujung bulan ini berikutan taburan hujan lebat luar biasa yang diramal berlaku bermula akhir Oktober hingga Disember. -Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Terengganu dijangka mula dilanda banjir hujung bulan ini berikutan taburan hujan lebat luar biasa yang diramal berlaku bermula akhir Oktober hingga Disember.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, situasi berkenaan biasanya berlaku apabila negeri itu mula memasuki musim peralihan Monsun Timur Laut setiap tahun menyebabkan kawasan rendah terutama di tepi sungai berisiko dinaiki air.
"Berdasarkan taburan hujan yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), secara purata taburan hujan sepanjang tahun di Terengganu sekitar 3,000 milimeter (mm) namun tahun ini dijangka mencecah 3,400 hingga 3,600 mm.
"Setakat ini taburan hujan hampir 2,000 mm dengan kadar hujan sehari sekitar 80mm.
"Jika taburan hujan turun dalam 300 hingga 400mm sehari, situasi banjir mungkin akan berlaku seperti di Gunung Jerai, Kedah akibat kepala air," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penghantaran barangan ke Pangkalan Hadapan Pulau Redang, di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Chendering, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak empat metrik tan bekalan makanan dihantar ke Pulau Redang pada Selasa sebagai persediaan awal bagi membantu penduduk menghadapi banjir.
Tambah beliau, bekalan keperluan makanan itu mencukupi untuk tempoh tiga hingga lima hari dan akan ada fasa kedua penghantaran melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga sudah dilaksanakan bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19.
"Bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS bagi menempatkan mangsa banjir bergejala dari zon merah atau terdedah kepada pesakit Covid-19 manakala petugas kesihatan akan berada di PPS.
"Bagaimanapun, sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#terengganu #banjir #pusat pemindahan #Jawatankuasa Bencana Negeri
;