Banjir di tiga daerah di Sabah kembali pulih
Ruzaini Zulkepli
Jun 1, 2018 18:18 MYT
Jun 1, 2018 18:18 MYT
Banjir kilat di negeri ini yang menjejaskan beberapa daerah seperti Penampang, Beaufort dan Kota Kinabalu mulai surut petang ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim menjelaskan keadaan di beberapa daerah itu masih terkawal namun terdapat beberapa jalan terputus dan sukar dilalui kenderaan.
Menurutnya, setakat ini, hanya daerah Penampang sahaja membuka sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Penampang dengan menempatkan tiga buah keluarga.
"Tiada sebarang insiden kemalangan jiwa direkodkan dalam kejadian itu. Namun, pasukan penyelamat sentiasa memantau perkembangan termasuk keadaan cuaca terkini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Hari ini, tinjauan Astro AWANI di Kampung Kolupis, Penampang mendapati ada beberapa laluan yang masih dinaiki air sehingga mencecah paras tiga meter dan hanya dapat dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda sahaja.
Bagaimanapun semalam, keadaan di Jalan Pintas Penampang berhampiran Bulatan Siga menuju ke Pekan Donggongon, tidak dapat dilalui memandangkan air naik sehingga ke paras lutut.
Berdasarkan tinjauan hari ini, keadaan banjir di lokasi membabitkan 17 perkampungan di Kota Belud seperti Kg Siasai Tamu, Kg Bobot, Kg Ejuk, Kg Linkodon, Kg Marajah dan Kg Keranjangan juga mulai pulih.
#banjir kilat
#Beaufort
#bomba
#kenderaan
#Khairul Azuwan Ibrahim
#Kota Kinabalu
#Penampang
#Sabah
#surut