Banjir di Terengganu pulih sepenuhya, semua PPS ditutup
Bernama
Januari 11, 2021 16:11 MYT
Januari 11, 2021 16:11 MYT
KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di dua daerah di Terengganu pulih sepenuhnya apabila kesemua 17 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup secara berperingkat dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata empat PPS terakhir di Kemaman dan Dungun ditutup secara rasmi pada 2 petang tadi.
"Bagaimanapun, penduduk di Terengganu perlu terus berwaspada kerana Monsun Timur Laut hanya akan berakhir pada Mac.
"Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan amaran angin kencang, laut bergelora dan air pasang besar hingga 14 Jan ini. Oleh itu, penduduk perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan cuaca di sekitar tempat tinggal mereka," katanya.
Banjir gelombang pertama di Terengganu telah bermula pada 17 hingga 19 Nov manakala gelombang kedua bermula pada 23 Nov hingga 2 Dis lepas.
Gelombang ketiga banjir pula pada lewat malam 2 hingga 9 Dis disusuli gelombang keempat berlaku pada 17 Dis dan berakhir pada 23 Dis.
Terkini, iaitu gelombang kelima banjir telah bermula pada 3 Jan lepas dan berakhir hari ini, yang menyebabkan lebih 13,000 penduduk di empat daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun dan Besut terjejas akibat bencana itu.
-- BERNAMA
#banjir terengganu
#PPS
#Pusat Pemindahan Sementara
#Kemaman
#Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri
#Jabatan Meteorologi
#banjir
#mangsa banjir
#terengganu