Banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya

Nur Fazlizai Ali
November 29, 2020 19:38 MYT
Kerja-kerja pembersihan telah dimulakan pada pagi Ahad termasuk dengan bantuan pihak bomba dan Majlis Perbandaran Kemaman. -Astro AWANI
KEMAMAN: Banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu terutama di daerah Kemaman sejak enam hari lalu hampir pulih sepenuhnya.
Sehingga jam 6 petang Ahad, hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Marang masih diaktifkan bagi menempatkan lapan mangsa membabitkan tiga keluarga.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman, berkata penurunan mendadak itu berikutan lebih 1,000 mangsa banjir di Kemaman pulang ke rumah sejak pagi Ahad.
Sementara itu, cuaca cerah sejak awal pagi Ahad membolehkan hampir semua mangsa khususnya di daerah Kemaman yang paling teruk terjejas pulang dan mula membersihkan kediaman mereka yang dipenuhi lumpur tebal.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya telah menggerakkan seramai 200 sukarelawan bagi membantu mangsa terjejas membersihkan kediaman mereka.
Jelas Hanafiah kerja-kerja pembersihan itu telah dimulakan pada pagi Ahad termasuk dengan bantuan pihak bomba dan Majlis Perbandaran Kemaman.
"Hari ini orang ramai dah mula pulang untuk bersih rumah tapi sebahagian besar rumah yang duduk di tepi sungai dipenuhi lumpur.
"Kita memanggil beberapa pihak untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka," katanya di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI di Kemaman mendapati Kampung Teladas dan Kampung Air Putih antara yang paling teruk terjejas.
Hujan lebat yang melanda daerah Kemaman sejak awal pagi Jumaat menyaksikan lebih 1,000 mangsa telah terjejas dipindahkan ke PPS.
#banjir #terengganu #Marang #lumpur #teladas #banjir gelombang kedua #Che Adam A Rahman #PPS #Kemaman
;