Banjir di Sarawak makin kritikal, pemantauan ditingkatkan
Noraida Abdul Kassim
Februari 9, 2016 18:18 MYT
Februari 9, 2016 18:18 MYT
Pemantauan berterusan di semua kawasan berisiko banjir dan kawasan tertentu akan dilakukan biarpun ramalan mengatakan hujan lebat tidak akan turun pada hari ini.
Penguasa Bomba Zon Satu Sarawak, Abdul Hafiz Abdul Khalid berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak akan terus mengerakkan anggotanya bagi melakukan tugasan menyelamat penduduk yang terjejas.
Menurutnya, kawasan yang kerap dilanda banjir menjadi tumpuan utama mereka untuk operasi pemantauan setelah fenomena air pasang besar dijangka akan berlaku petang hari ini.
"Apa yang kita lakukan ialah membuat pemantauan di tempat tempat hotspot dan kawasan yang mudah dinaiki air.
"Selain itu, kita juga mendapat aduan daripada orang ramai ataupun mana mana agensi di kawasan yang dijangka dinaiki air atau sedang dinaiki air. Jadi kita akan terus ke lokasi bersama jentera termasuk lori dan bot," katanya.
Hafiz turut menyatakan setakat ini , mereka telah menggerakkan tiga buah bot penyelamat bagi operasi memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan.
"Situasi sekarang, kalau kita tengok cuaca macam sedikit baik, tapi kita masih berjaga-jaga jika berlaku sebarang kejadian di luar jangkaan termasuk di kawasan hotspot," katanya ketika membuat tinjauan paras air di kawasan Tambak Batu Kitang di sini yang ketika itu berada pada paras yang tinggi disebabkan fenomena air pasang besar sepanjang minggu ini.
Bernama melaporkan setakat jam 5 petang Selasa, seramai 2,679 orang mangsa dari 694 buah keluarga di daerah Bau dan Kuching telah direkodkan.