Banjir di Sabah semakin pulih, empat PPS ditutup
Bernama
Julai 3, 2024 20:21 MYT
Julai 3, 2024 20:21 MYT
KOTA KINABALU: Banjir melanda Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli semakin pulih dengan semua empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sejak Ahad ditutup petang ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan PPS Dewan Kebudayaan Penampang ditutup pada pukul 5 petang, manakala PPS Dewan Sri Putatan pula ditutup pada pukul 3 petang.
Sekretariat seterusnya memaklumkan dua PPS lain iaitu Dewan Balai Raya Kampung Tutu Selupoh, Tuaran dan Dewan Balai Raya Kampung Bantoi,Tamparuli pula ditutup pada 2 petang.
Pagi tadi, keempat-empat PPS mencatatkan seramai 474 orang daripada 144 keluarga dan kesemuanya telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan berasingan memaklumkan laluan di KM31.9 Jalan Penampang-Tambunan (jalan Persekutuan diwartakan sebagai Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom), ditutup buat sementara waktu.
JKR Sabah memaklumkan penutupan itu adalah berikutan berlaku tanah runtuh yang menyebabkan jalan raya di lokasi berkenaan terputus dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.
"Orang awam yang hendak melakukan perjalanan antara Penampang-Tambunan (dan sebaliknya), dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif sehinggalah pembinaan lencongan sementara disiapkan," menurut kenyataan berkenaan.
Laluan alternatif dicadangkan ialah Penampang-Lok Kawi-Kimanis-Keningau dan laluan Penampang-Lido-Telipok-Tamparuli-Kundasang-Ranau-Tambunan.
Tinjauan di beberapa kawasan di Penampang mendapati terdapat kawasan yang masih digenangi air tetapi paras air amat cetek dan surut berbanding sebelum ini.
Cuaca di Sabah pada masa ini cerah dengan sedikit mendung di beberapa kawasan pantai barat dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan ribut petir di negeri itu sehingga 9 malam ini.
-- BERNAMA