Banjir di Sabah semakin memburuk, sembilan daerah terjejas

Eleanor Michelle Patrick
Januari 17, 2021 12:07 MYT
Keadaan di Balai Polis Penampang yang turut dinaiki air hingga paras lutut. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak petang Sabtu merekodkan sebanyak sembilan daerah di Sabah terkesan dengan banjir pada setakat 10 pagi ini.
Antara daerah yang terkesan ialah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Tuaran, Papar, Pitas, Paitan dan Beaufort.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Lt. Kol Mohd Izaimi Md Daud, ketika dihubungi Astro AWANI pada pagi tadi mendedahkan, seramai 270 mangsa melibatkan daerah terlibat.
"Di Kota Kinabalu hujan masih renyai-ranyai, air masih meningkat dan proses pemindahan masih lagi berjalan," katanya.
Sebanyak sembilan PPS yang beroperasi pada ketika ini, iaitu Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, Dewan Serbaguna PPR Ketiau, Putatan, Dewan Likas, Dewan Kubambangan, Dewan Binsulung, Dewan DSP Mohd Dun Banir dan Dewan Kampung Kusilad.
Sementara itu, di Putatan dan Penampang, 38 mangsa banjir telah ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bermula lewat malam semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi sebentar tadi, kesemua mangsa telah dibawa ke PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
"Untuk PPS di Penampang, seramai 31 mangsa banjir telah dibawa ke Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang sejak jam 9.30 malam tadi.
"Manakala untuk penduduk Putatan yang terjejas, tujuh mangsa banjir telah dipindahkan ke Dewan PPR Sri Keramat Putatan bermula jam 12.30 tengah malam," katanya.
Haris dalam pada itu menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk yang terkesan akibat banjir di dua daerah berkenaan supaya terus berhati-hati memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Untuk rekod, METMalaysia telah mengeluarkan amaran bencana buruk bagi pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) serta pantai barat Sabah, yang akan berterusan sehingga Ahad.
Hujan lebat dijangka di Kudat, Telupid, Beluran dan Sandakan sehingga esok.
#banjir sabah #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APMMMohd Izaimi Md Daud #Kota Kinabalu #banjir #Sabah #terjejas
;