Banjir di Sabah pulih, tiga PPS ditutup
Mirlen Axtius
Oktober 12, 2022 18:52 MYT
Oktober 12, 2022 18:52 MYT
KOTA KINABALU: Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah ditutup petang ini berikutan keadaan banjir yang semakin pulih.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan bahawa 122 mangsa daripada 32 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS itu sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"PPS di Dewan Projek Perumahan Rakyat Sri Keramat, Putatan ditutup pada 4.30 petang dan Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU di Papar ditutup pada 4 petang.
"Manakala, PPS di Dewan DSP Mohd Dun Banir Beaufort pula telah diisytihar tutup pada jam 1 petang oleh Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort," katanya pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, hasil tinjauan daripada pihak JPS dan agensi JPBD mendapati paras air sungai kembali normal dan kawasan yang terkesan banjir telah pulih sepenuhnya.
Kini, tinggal hanya ada satu PPS masih aktif dibuka, iaitu PPS Rumah Rehat Daerah Kudat yang menempatkan 250 mangsa kebakaran.
Semua PPS dibuka pada Ahad dan Isnin termasuk PPS di Dewan Kebudayaan Penampang susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu.
Dalam perkembangan yang sama, cuaca ketika ini mendung di kebanyakan tempat di Sabah.