KOTA KINABALU: Kesemua empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Pitas ditutup susulan keadaan banjir yang semakin pulih.

Keputusan penutupan PPS itu dibuat selepas pengisytiharan penamatan situasi banjir gelombang kedua oleh Pegawai Daerah Pitas, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Izul.

Firuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan maklumat lapangan dan laporan yang diterimanya.

"Empat PPS itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Salimpodon, Dewan Kampung Kusilad, Dewan SK Pekan 2 dan Dewan Kampung Kabatasan.

"Kesemuanya ditutup, berkuatkuasa pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Firuz juga telah mengarahkan agar operasi penghantaran pulang semua mangsa banjir  di kesemua pps  berkenaan dilakukan segera.

"Saya juga meminta agar pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan bantuan agensi keselamatan melakukan kerja-kerja pembersihan serta proses nyahjangkitan (disinfeksi) virus COVID-19 di PPS yang terlibat.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi mencegah risiko penularan virus tersebut serta lain-lain penyakit berjangkit.