Banjir di Perlis pulih, PPS SK Kubang Gajah ditutup
Bernama
September 29, 2023 17:25 MYT
September 29, 2023 17:25 MYT
KANGAR: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah iaitu satu-satunya PPS di Perlis yang masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, ditutup petang ini susulan situasi banjir semakin pulih.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua 44 mangsa daripada 16 keluarga yang berada di PPS tersebut telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"PPS Dewan SK Kubang Gajah ditutup pada 3 petang apabila air surut sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berterusan.
Katanya keseluruhan 86 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke dua PPS yang dibuka sejak banjir bermula di negeri ini, Selasa lepas.
Sebuah lagi PPS di Dewan SK Arau ditutup Rabu lepas.
-- BERNAMA