Banjir di Perlis pulih, PPS ditutup sepenuhnya
Bernama
September 21, 2024 13:31 MYT
September 21, 2024 13:31 MYT
KANGAR: Banjir di Perlis pulih apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan Kangar dan Arau yang menempatkan 90 mangsa banjir setakat 8 pagi tadi ditutup sepenuhnya pada 12 tengah hari ini.
Ringkasan AI
- Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Kangar dan Arau yang menempatkan 90 mangsa banjir ditutup sepenuhnya pada 12 tengah hari ini.
- Kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air surut sepenuhnya.
- Kampung yang terlibat termasuk Kampung Sungai Padang, Kampung Kubang Gajah, Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena, dan Kampung Seberang Tambang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata kesemua mangsa itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air di kawasan kediaman mereka surut sepenuhnya.
"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Kangar manakala PPS SK Dato Ahmad Musa dan SK Kubang Gajah bagi kawasan Arau ditutup sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara kampung terlibat dengan kejadian banjir itu ialah Kampung Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah bagi kawasan Arau manakala Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena dan Kampung Seberang Tambang di Kangar.
Untuk rekod, di Perlis dua PPS mula diaktifkan pada 17 Sept lepas iaitu melibatkan PPS SK Sena dibuka pada 10.50 malam manakala PPS SK Arau dibuka pada 11.55 malam sebelum PPS SK Arau ini ditutup pada 19 Sept lepas.
-- BERNAMA