Banjir di Pahang pulih sepenuhnya, PPS terakhir di Maran ditutup - NADMA

Bernama
Januari 3, 2024 23:25 MYT
Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Maran yang sebelum ini menempatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga ditutup malam ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Maran yang sebelum ini menempatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga ditutup malam ini.
Laporan terkini situasi banjir di seluruh negara dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 8 malam ini.
Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai masih berada pada paras bahaya iaitu Sungai Arau, Perlis dengan trend meningkat, manakala Sungai Pulai di Johor Bahru, Johor pula menunjukkan trend menurun.
Laporan itu turut memaklumkan 19 jalan ditutup akibat banjir, cerun runtuh dan kerosakan antaranya Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Sam ke Dabong di Jeli, Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak, Perak dan Jalan Kota Tinggi-Kluang di Johor.
Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya dalam hantaran menerusi Facebook memaklumkan setakat 6 petang, 17 lokasi bencana dikesan melibatkan enam jalan Persekutuan dan 11 jalan negeri.
Daripada jumlah itu, bencana yang direkodkan melibatkan banjir di lima lokasi, cerun runtuh (lima), jalan runtuh (empat) serta jambatan rosak atau runtuh (tiga).
Negeri terlibat dengan bencana itu ialah Pahang membabitkan tiga daerah, dua daerah masing-masing di Kelantan, Perak dan Kedah serta satu daerah di Terengganu, Johor dan Selangor.
-- BERNAMA
#banjir pahang #pulih sepenuhnya #PPS #NADMA
;