Banjir di Pahang hampir pulih dengan 59 orang di pusat pemindahan

Bernama
Disember 18, 2013 00:39 MYT
Keadaan banjir di Pahang hampir pulih sepenuhnya dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan secara mendadak kepada 59 orang petang berbanding 827 sebelumnya.
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga 9 malam hanya dua daerah yang masih menempatkan mangsa banjir iaitu Pekan dan Maran.
"Manakala kesemua 27 mangsa banjir terakhir daripada enam keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kuantan telah dibenarkan pulang pada 6 petang tadi," katanya kepada Bernama di sini.
Katanya, di Pekan seramai 41 mangsa banjir daripada 10 keluarga masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan manakala Maran hanya satu pusat pemindahan dibuka menempatkan 18 orang daripada enam keluarga.
#banjir #Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang #Kuantan #Pahang