'Banjir' di Mutiara Damansara berjaya dikawal
Arfa Yunus
Februari 15, 2014 18:11 MYT
Februari 15, 2014 18:11 MYT
Jalan menghala ke Mutiara Damansara yang dilaporkan banjir akibat paip pecah sebentar tadi telah berjaya dikawal oleh pihak bomba dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Menurut Pegawai Kanan Bomba 2 bahagian Balai Bomba dan Penyelamat, Damansara Utama, Jaswant Singh, kejadian tersebut disalah anggap sebagai banjir walhal ia hanyalah kejadian paip bocor yang menyebabkan air melimpah.
“Bukan banjir. Terdapat satu paip air utama di Jalan Persiaran Surian telah pecah yang menyebabkan air melimpah. Pihak bomba telah menghubungi pihak Syabas dan masalah ini telah pun diselesaikan oleh Syabas sebentar tadi,” kata Jaswant.
Tambah Jaswant lagi, tiada kemalangan dilaporkan sepanjang kejadian limpahan air tersebut berlaku dan kini keadaan sudah terkawal.
Walaubagaimanapun, insiden ini telah menyebabkan kerisauan terhadap pengguna yang berkongsi maklumat serta foto di laman media sosial.
Rata-rata mengeluh akibat kesesakan lalu lintas teruk yang terjadi akibat perkara ini.
Sementara itu, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu bahawa kerja-kerja pembinaan bagi Projek MRT telah menyebabkan paip air berukuran 900mm di Persiaran Surian rosak.
Insiden tersebut berlaku kira-kira jam 10.15 pagi hari ini telah menyebabkan limpahan air di Persiaran Surian, berdekatan Ikano Power Centre di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Menurut Penolong Pengurus Besar Komunikasi Trategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Leong Shen-Li berkata, Syabas telah dimaklumkan dengan segera berkenaan masalah ini.
“Pihak Syabas telah berkaya menyelesaikan masalah tersebut dan kini air tidak lagi melimpah. Laluan trafik juga sudah berada dalam keadaan terkawal,” katanya.