Banjir di Melaka pulih sepenuhnya

Shuhada Abdul Kadir
Januari 13, 2022 22:46 MYT
Banjir di Melaka pulih sepenuhnya selepas semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sejak awal bulan lalu ditutup. - Gambar fail
MELAKA: Banjir di Melaka pulih sepenuhnya selepas semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sejak awal bulan lalu ditutup.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Left Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, ia selepas PPS terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat menamatkan operasinya, hari ini.
“Sehingga jam 7 petang ini, PPS terakhir di daerah Jasin itu yang sebelum ini menempatkan 17 keluarga ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
“Empat PPS yang dibuka di daerah Jasin sebelum ini antara yang paling lewat ditutup kerana banyak kawasan penduduk dilanda situasi banjir genang,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata, pada gelombang kedua banjir sejak 1 Januari lalu, sebanyak 23 PPS dibuka membabitkan 10 PPS di daerah Alor Gajah, sembilan Melaka Tengah dan empat di Jasin.
Semua PPS itu menempatkan 696 keluarga yang melibatkan 2744 mangsa yang terjejas dengan bencana berkenaan.
Ia membabitkan keseluruhan 37 kawasan dengan daerah Melaka Tengah merupakan daerah paling teruk terjejas.
#banjir #banjir melaka #Pusat Pemindahan Sementara #PPS #APM #angkatan pertahanan awam #Jasin
;