Banjir di Kuantan pulih, banjir di Kelantan tidak banyak berubah

Bernama
Disember 20, 2014 18:02 MYT
Keadaan banjir di daerah Kuantan, Pahang pulih sepenuhnya selepas semua pusat pemindahan di negeri itu ditutup petang ini manakala di Terengganu. - Bernama Photo
Keadaan banjir di daerah Kuantan, Pahang pulih sepenuhnya selepas semua pusat pemindahan di negeri itu ditutup petang ini manakala di Terengganu keadaan semakin reda namun di Kelantan situasi banjir tidak banyak berubah.
Di Kota Baharu, menurut portal banjir kerajaan negeri keadaan banjir di tujuh jajahan di Kelantan pada sebelah petang ini tidak banyak berubah apabila 19,501 orang masih berada di 83 pusat pemindahan berbanding 19,715 pada sebelah tengah hari.
Jajahan Pasir Mas masih menempatkan jumlah terbesar iaitu 11,184 orang yang dipindahkan ke 37 pusat pemindahan iaitu sedikit bertambah berbanding tengah hari seramai 11,156 orang.
Di Tumpat menunjukkan pengurangan iaitu 3,321 orang, ditempatkan di lapan pusat berbanding 3,310 orang sebelumnya.
Jumlah yang dipindahkan di Kuala Krai berkurangan kepada 2,915 orang yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan berbanding 3,035 orang sebelum ini.
[GALERI FOTO]: BANJIR KEMBALI MELANDA PANTAI TIMUR
Di Kota Baharu 628 orang ditempatkan di lima pusat, Pasir Puteh (603 orang/empat pusat), Tanah Merah (461 orang/10 pusat) dan Machang (389 orang/lapan pusat).
Jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan itu membabitkan 6,204 keluarga.
Sejak banjir gelombang kedua melanda Kelantan pada 16 Dis lepas, empat kematian akibat banjir direkodkan iaitu masing-masing di Tanah Merah, Tumpat, Kuala Krai dan Kota Baharu.
Di KUALA TERENGGANU, 630 mangsa banjir di Terengganu mengambil peluang pulang ke rumah masing-masing petang ini berikutan keadaan banjir beransur reda selepas enam hari dilanda banjir.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri pada 3 petang ini, sebanyak 8,246 mangsa daripada 2,446 keluarga masih berada di 117 pusat penempatan petang ini berbanding 8,617 pada sebelah pagi.
Kebanyakan mangsa banjir enggan mengambil risiko pulang ke rumah kerana cuaca mendung dan kadang kala hujan serta ditambah air pasang, berpotensi kembalinya bencana banjir, terutama yang tinggal di kawasan rendah.
Besut kekal, daerah paling teruk terjejas yang menempatkan 3,058 orang di 42 pusat pemindahan, Dungun (2,302 orang/30 pusat), Hulu Terengganu (1,072 orang/16 pusat), Kemaman (1,553 orang/18 pusat), Setiu (197 orang/tujuh pusat), Kuala Terengganu (3 orang/tiga pusat), Marang (21 orang/satu pusat).
Dalam pada itu, Bahagian Hidrologi Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan sehingga 3 petang ini, semua sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan sehingga paras berjaga-jaga.
Malah semua jalan utama di Terengganu yang sebelum ini terdapat beberapa lokasi jalan raya ditutup telah pun dibuka semula kepada pengguna jalan raya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata angin kencang timur laut dengan kelajuan 60 kmsj serta ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (pedalaman, pantai barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka berterusan hingga Rabu ini.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
#Bahagian Hidrologi Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran #banjir #Jabatan Meteorologi Malaysia #Kuala Terengganu #Kuantan #Majlis Keselamatan Negara #MKN #Pahang #Pulih #reda #terengganu
;