Banjir di Kota Tinggi mula surut

Ridauddin Daud
Januari 10, 2024 12:59 MYT
Kampung Kangkar Tebrau pada Selasa dinaiki air sehingga jalan ini ditutup namun pada Rabu, laluan ini kembali dibuka susulan banjir sudah surut.
KOTA TINGGI: Banjir di sini terutamanya di pusat bandar mula menunjukkan trend semakin surut jika dibandingkan pada Ahad lepas.
Tinjauan Astro AWANI ke kawasan bandar mendapati banyak jalan yang sebelum ini ditutup sudah mula dibuka kepada orang awam susulan banjir semakin surut.
Paras air di pusat bandar juga kini berada di bawah satu meter dengan beberapa kedai yang lebih tinggi sudah tidak lagi ditenggelami air.
Situasi itu menyebabkan beberapa peniaga pergi ke kedai untuk membersihkan kedai meskipun ada kebimbangan paras air kembali meningkat ekoran hujan dan air pasang.
Bagaimanapun, anggota polis yang bertugas di kawasan itu mengarahkan semua yang berada dalam kawasan banjir untuk keluar kerana keadaan masih belum selamat sepenuhnya.
Selain pusat bandar, banjir di Kampung Kangkar Tebrau juga sudah surut sepenuhnya selepas air naik sehingga ke paras dada pada Selasa.
Tinjauan mendapati paras air Sungai Tebrau dilihat semakin surut dan tidak lagi melimpah ke kiri dan kanan tebingnya.
Penduduk juga dilihat sibuk mengemas rumah dengan banyak perabot diletakkan di luar rumah selepas semuanya basah akibat banjir.
#banjr Kota Tinggi #paras air di Kota Tinggi #Kampung Kangkar Tebrau #Sungai Tebrau
;