Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup

Bernama
Disember 24, 2019 09:32 MYT
Semua pusat pemindahan sementara di Kelantan ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 8 malam tadi selepas keadaan semakin pulih
Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 8 malam tadi dengan 38 mangsa banjir daripada 15 keluarga terakhir yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, Pasir Mas telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 8 malam tadi.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup berkata ini berikutan keadaan cuaca baik di seluruh negeri sejak dua hari lepas.
"Walapun gelombang kedua banjir di negeri ini berlaku awal namun semua keperluan asas kepada mangsa banjir dapat kita sediakan tanpa sebarang masalah.
"Ini kerana persiapan awal telah kita lakukan sebelum ini termasuk pembelian darurat pada 9 Dis lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya persiapan yang sama juga telah dilakukan bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya di Kelantan terutama pada 25 Dis ini yang diramal bakal berlaku fenomena air laut pasang besar.
Said berkata menguruskan mangsa banjir pada gelombang pertama memberi pengalaman berharga kepada semua petugas bagi mereka menjalankan tanggungjawab dengan lebih lancar."Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada mangsa yang mematuhi arahan berpindah dengan lebih awal selain memberi kerjasama yang baik semasa berada di PPS," katanya.
Katanya trend banjir gelombang kedua juga agak berbeza apabila jajahan Tumpat yang biasanya menjadi lokasi terakhir banjir tidak terkesan dengan bencana itu.
"Tiada mangsa yang dipindahkan di jajahan Tumpat untuk banjir kali kedua. Ia memberi sedikit kelegaan kepada pihak kami untuk memberi fokus kepada jajahan lain yang terkesan banjir," katanya.
Dalam pada itu, Said berkata JKM turut memantau keadaan cuaca di selatan Thailand bermula hari ini hingga berakhirnya ramalan fenomena air pasang sebagai persiapan menghadapi segala kemungkinan.
Katanya hujan yang lebat di Thailand antara faktor yang turut mempengaruhi banjir di Kelantan kerana mampu meningkatkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
#air #keluarga #Kota Bharu #mangsa #mangsa banjir #mati lemas #Pasir Mas #Tumpat
;