Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, mangsa di Johor berkurang
Bernama
Disember 9, 2024 22:36 MYT
Disember 9, 2024 22:36 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah dua minggu dilanda banjir besar, keadaan di Kelantan pulih sepenuhnya petang tadi manakala jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Johor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan tidak jauh berubah.
Di Kelantan, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas, Azizan Aziz berkata PPS terakhir iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh yang menempatkan 32 mangsa, ditutup sekitar 6 petang tadi apabila banjir di kawasan petempatan mereka surut dan semua mangsa dibenarkan pulang.
Portal infobanjir.water.gov.my pula memaklumkan setakat 8 malam tadi, bacaan aras Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat masih melepasi paras berjaga-jaga iaitu 2.01 meter (berjaga-jaga 2.0 meter) dengan trend menurun.
Di Johor umlah mangsa banjir yang di tempatkan di PPS sedikit berkurangan selepas PPS Balai Raya Kampung Kuala Paya, Segamat ditutup petang tadi menjadikan mereka yang masih terjejas hingga 8 malam sekitar 101 orang berbanding 109 petang tadi, dengan kesemuanya ditempatkan di tiga PPS di Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak (40 mangsa), Dewan Komuniti Kampung Tasek (45 mangsa) dan Balai Raya Kampung Sanglang (16 mangsa).
"Sementara itu, dua sungai masih lagi berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’mor, Tangkak dengan bacaan 4.24 meter dan Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat dengan bacaan 4.13 meter.
"Daerah Segamat dilaporkan hujan malam ini manakala Muar, Mersing, Pontian, Kluang, Batu Pahat dan Tangkak adalah mendung serta Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai berkeadaan cerah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, mangsa banjir di Melaka kekal dengan 11 orang yang masih berlindung di PPS SK Seri Mendapat, Jasin, menurut Sekretariat JPBN Melaka.
Di Perak, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini kekal 112 orang, yang ditempatkan di tiga PPS di daerah Kinta dan Perak Tengah iaitu PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang serta Sekolah Kebangsaan St Paul di daerah Kinta (78 mangsa) manakala di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah (34 mangsa).
Di Negeri Sembilan, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 129 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS di Tampin berbanding 30 mangsa daripada lapan keluarga petang tadi.
Tiga PPS yang terlibat ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelamah, Balai Raya Kampung Parit Buluh dan SK Gedok.
-- BERNAMA