Banjir di Kedah semakin memburuk, bilangan mangsa cecah 1,018 orang

Adie Sufian Zulkefli
September 17, 2024 22:36 MYT
Pandangan dari udara situasi banjir di Kampung Padang Luar, Kubang Pasu hari ini. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Situasi banjir di Kedah semakin memburuk selepas bilangan mangsa mencecah 1,018 orang daripada 268 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, jumlah itu dilaporkan meningkat jam 8 malam ini.
Beliau berkata, peningkatan jumlah itu meningkat berbanding 675 mangsa yang dipindahkan ke sembilan PPS di negeri ini setakat jam 5 petang tadi.
"Kita jangkakan jumlah mangsa banjir di negeri ini akan terus meningkat berikutan hujan masih lebat ketika ini dan beberapa sungai utama telah melepasi paras bahaya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Dalam pada itu, Zulkhairi berkata, pihaknya melakukan persediaan untuk menjaga kebajikan semua mangsa yang ditempatkan di PPS, pihaknya menyediakan keperluan harian khususnya makanan dan keperluan asas lain.
Katanya, bekalan makanan sedia ada mampu bertahan selama dua minggu untuk sekurang-kurangnya 10,000 orang mangsa.
#banjir kedah #memburuk #Pusat Pemindahan Sementara #JKM Kedah
;