Banjir di Johor bertambah buruk

Sinar Harian
Januari 11, 2021 10:22 MYT
Banjir di Johor bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 3,145 orang daripada 904 keluarga setakat jam 8 pagi pada Isnin. -Gambar fail
JOHOR BAHRU: Banjir di Johor bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 3,145 orang daripada 904 keluarga setakat jam 8 pagi pada Isnin.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah itu terus menunjukkan pertambahan berbanding 3,107 orang daripada 895 keluarga setakat jam 4 pagi.
"Sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Johor Bahru dan Kulai. Dua daerah ini sudah ditutup semua PPS sebelum ini tetapi disebabkan hujan lebat tanpa henti dan beberapa kawasan kembali banjir, maka dibuka semula.
"Antara kawasan yang kembali banjir seperti di Kampung Laut Batu 10 dan Kampung Sepakat di Johor Bahru. Setakat ini, lima daerah terlibat banjir iaitu Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Segamat dan Johor Bahru.
"Daerah yang paling ramai menempatkan mangsa banjir di PPS setakat ini adalah di Kota Tinggi, mereka ditempatkan di sekolah dan dewan di 20 PPS. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan bekalan makanan di semua PPS seluruh negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Vidyananthan berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, hujan lebat tahap bahaya akan melanda Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai, Kluang, Pontian dan Kota Tinggi.
Beliau berkata, hujan lebat pada tahap buruk pula melanda Segamat dan Mersing manakala hujan lebat tahap waspada melanda Tangkak dan Muar.
Katanya, air pasang terus berlaku di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup, Pontian pada pagi dan malam Isnin.
"Air pasang berlaku di Tanjung Sedili pada jam 7.15 pagi dan 9 malam dengan ketinggian 194 dan 260 meter (M), Johor Bahru jam 9.15 pagi dan 11.35 malam (292 dan 304M) dan Kukup jam 9.16 pagi dan 10.46 malam (344 dan 257M)," katanya.
#banjir johor #mangsa banjir #Vidyananthan #Pusat Pemindahan Sementara #PPS #pusat pemindahan #mati lemas
;