Banjir di beberapa kawasan di Pulau Pinang, 3 PPS dibuka
Astro Awani
November 12, 2022 11:05 MYT
November 12, 2022 11:05 MYT
GEORGE TOWN: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pulau Pinang sejak malam tadi dan awal pagi ini bagi menempatkan 117 mangsa banjir yang terjejas.
Tiga PPS tersebut ialah dua di Bukit Mertajam dan satu lagi di Tasek Gelugor.
Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, dua PPS yang dibuka di Bukit Mertajam adalah Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) True Light dan Dewan Orang Ramai Bukit Teh.
Manakala di Tasek Gelugor, PPS yang dibuka adalah di Dewan Banjir Desa Puri.
Menurut Phee, PPS SJKC True Light dibuka pada sejak jam 8 malam tadi kini menempatkan 87 mangsa yang terdiri daripada 27 buah keluarga.
“Sehingga jam 6 pagi tadi, sebanyak 27 buah keluarga telah dipindahkan ke PPS ini yang melibatkan 53 dewasa, 22 kanak-kanak, sembilan warga emas, dua bayi dan seorang orang kurang upaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Tujuh keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Bukit Teh, membabitkan sembilan dewasa, lapan kanak-kanak, dua bayi dan dua warga emas,” tambahnya.
Sementara itu, PPS Dewan Banjir Desa Puri, Tasek Gelugor yang dibuka jam 2.30 pagi ini menempatkan dua buah keluarga terdiri.
Hujan lebat di Pulau Pinang sejak petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di Seberang Perai mengalami banjir kilat.
Antara kawasan yang dinaiki air termasuk di Juru, Kampung Baru Alma, Berapit, Jalan Sukun dan Jalan Tembikai di Bukit Mertajam.
Turut mengalami banjir kilat ialah di Taman Sentul, Kampung Dock, Taman Machang Bubok, Taman Pinggiran Alma, Taman Sejahtera, Taman Selamat dan Taman Kota Permai.
Berikutan situasi itu, beberapa kempen ceramah calon Pilihan Raya Umum ke 15 di negeri itu malam tadi terpaksa dibatalkan.