Banjir di Beaufort dan Tenom, 72 mangsa masih ditempatkan di PPS

Ruzaini Zulkepli
Mei 18, 2021 13:24 MYT
Semua mangsa banjir yang terbabit ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah masing-masing.
BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir di dua daerah iaitu Beaufort dan Tenom kekal seramai 72 orang setakat tengah hari tadi.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, semua mangsa banjir yang terbabit ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah masing-masing.
Dua PPS itu adalah Dewan DSP Mohd Dun Banir di Beaufort dan Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom.
"Proses memindahkan mangsa banjir masih lagi dipergiatkan disebabkan paras air di beberapa kawasan panas masih di bawah kategori bahaya, " katanya.
Terdahulu, dalam banjir kilat sejak dua hari lalu itu melibatkan 45 buah kampung di Beaufort dan 11 kampung di Tenom yang terjejas akibat dinaiki air.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
#banjir sabah #Beaufort #Tenom #Banjir Beaufort #Dewan DSP Mohd Dun Banir
;