Banjir di Baling: Lebih 11 kampung terjejas, 3 PPS dibuka

Adie Sufian Zulkefli
Julai 4, 2022 15:47 MYT
Sehingga jam 9 malam tadi, bilangan keseluruhan mangsa terjejas belum dapat dipastikan. - Gambar hiasan
BALING: Pasukan penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba menumpukan usaha pemindahan dan mengesan mangsa terperangkap dalam banjir melibatkan lebih 11 kampung di Baling, pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata sekurang-kurangnya 11 kampung berhampiran Sungai Kupang terjejas akibat banjir yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu.
Katanya, antara kampung terlibat ialah Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang,
Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang.
"Sehingga kini, bomba telah memindahkan 55 mangsa yang terperangkap ke tempat selamat dan operasi pemindahan masih dijalankan sehingga kini," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling merangkap Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim berkata, sehingga jam 9 malam tadi, bilangan keseluruhan mangsa terjejas belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun, katanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Iboi, PPS Sheik Sheh dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai.
“Bilangan keluarga dan mangsa masih belum dapat dipastikan.
“Usaha kini tertumpu kepada pemindahan mangsa ke tempat selamat dan mengesan mangsa yang terperangkap untuk diberi bantuan segera,” katanya.
[TERKINI] Bencana | Sungai Kupang melimpah, dua kampung dilanda banjir kilat
Sehingga kini hujan masih turun di kawasan terbabit dan penduduk diminta terus berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
#banjir baling #hujan lebat #bomba #APM