Banjir: Demi kelangsungan hidup, bantu masyarakat, penduduk buka perniagaan

Hakim Rahman
Disember 22, 2021 05:50 MYT
Pemilik Warung Mak Long membuka semula warungnya berhampiran kawasan yang ditenggelami air bagi memastikan tidak ada perut yang tidak terisi. - Astro AWANI
MENTAKAB: Banjir yang melanda lapan daerah di Pahang mengakibatkan banyak urusan harian dan perniagaan terhenti sama ada kerana pekerja terkandas atau premis dinaiki air.
Tetapi bagi segelintir penduduk, mereka perlu terus bekerja bukan sahaja demi kelangsungan hidup malah untuk membantu mereka yang memerlukan.
Menurut salah seorang pemilik kedai gunting rambut yang hanya mahu dikenali sebagai Pidot, dia tetap meneruskan perniagaannya walau premis perniagaan miliknya di Kampung Batu Kapur di sini, ditengelami air.
“Saya potong rambut pelanggan dekat belakang kedai saja, janji ada barang dan orang nak potong rambut,” katanya yang ditemui Astro AWANI.
Jelas Pidot dia hanya mengambil upah RM15 untuk sesiapa yang ingin mendapatkan perkhidmatan memotong rambut.
Sementara bagi pemilik Warung Mak Long, di sini, dia membuat keputusan untuk membuka semula warungnya berhampiran kawasan yang ditenggelami air bagi memastikan tidak ada perut yang tidak terisi.
“Kalau ada orang dalam Kampung Gajah Mati yang nak makan apa-apa, Mak Long bagi sahaja, niat nak sedekah sebab mereka pun tak boleh keluar, air tinggi lagi.
“Mula-mula terfikir juga nak buka atau tidak warung ini sebab bahan mentah tak ada (sebelum ini) tapi bila dah buka ni ramai yang minta, termasuklah orang yang hantar bantuan untuk makan,” katanya.
#banjir pahang #kelangsungan hidup #buka perniagaan #warung makanan
;