Banjir: Dakwaan PM lambat tidak benar, ADUN Hulu Kelang jangan jadi 'batu api' - Shahril Hamdan

Firdaus Azil
Disember 26, 2021 17:13 MYT
Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Saari (kiri) seolah-olah ingin melepaskan tangan, dan hanya ingin menuding jari kepada pihak lain tanpa mengambil apa-apa tanggungjawab bagi diri sendiri. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dakwaan ADUN Hulu Kelang Saari Sungib bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lewat bertindak menguruskan banjir di Lembah Klang adalah tidak benar, serta tidak berasaskan fakta, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Saari seolah-olah ingin melepaskan tangan, dan hanya ingin menuding jari kepada pihak lain tanpa mengambil apa-apa tanggungjawab bagi diri sendiri.
Menjawab dakwaan bahawa Perdana Menteri lambat bertindak, Shahril berkata, Ismail Sabri telah mengarahkan tindakan dilakukan, sebaik selesai mendengar taklimat dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 17 Disember.
“Sehabisnya taklimat tersebut, Perdana Menteri mengarahkan segala Kementerian berkaitan, Kementerian Pertahanan, KPKT, Agensi-Agensi di bawah JPM, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menggerakkan aset bagi tujuan operasi menyelamat, mengurus, dan menyelaras di semua kawasan.
“Kawasan saya sendiri Kuala Langat, sudah bersedia untuk menerima mangsa semenjak pagi hari Sabtu (18 Disember), dan anggota RELA, KKM, serta JKM telah pun mula menguruskan mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi.
Saari pada Sabtu mendakwa, Ismail Sabri tidak menghiraukan rayuan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang memohon bantuan segera ketika banjir semakin terus, pada malam Jumaat, 17 Disember lalu.
"Dengan itu, saya menyeru rakyat Selangor terutama yang menjadi mangsa banjir ini mempunyai bukti-bukti untuk membuat dakwaan mala fide dan pengkhianatan Ismail Sabri terhadap mereka di mahkamah," menurut Saari dalam satu kenyataan.
Mengenai tuduhan bahawa Perdana Menteri tidak berbuat apa-apa, Shahril berkata, pada malam Sabtu (18 Disember), Ismail Sabri telah bergegas ke pusat kawalan NADMA bagi menyelaras tugasan, dan tindakan yang perlu diambil bagi menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.
“Ini disusuli, dengan lawatan ke Bukit Lanchung di Putra Heights memastikan agar aset-aset kerajaan segera pindahkan mangsa-mangsa banjir ke PPS.
“Pagi Ahad pula, Perdana Menteri ke Telok Gong, Klang bagi melawat mangsa-mangsa banjir di Klang, beliau terus mengarahkan JKM agar memberi segala kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya lagi.
Kemudian, Shahril berkata, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan awal RM100 juta untuk pemulihan infrastruktur terjejas akibat banjir; bantuan wang ihsan RM1,000; geran padanan GLC/GLIC; serta penempatan anggota kesihatan dan kemudahan asas di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Mengulas lanjut, Shahril berkata, Perdana Menteri serta Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah memberi komitmen bahawa bantuan dan aset Kerajaan Persekutuan mula bergerak pada hari Sabtu 18 Disember 2021.
Ini, tegasnya lagi, dibuktikan oleh ciapan Hishammuddin, di mana beliau memuatnaik gambar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah pun berada di kawasan banjir semenjak tengahari Sabtu.

Susulan situasi banjir di beberapa negeri, anggota ATM mula diaturgerak. Antara yang telah berada di lapangan ialah anggota & aset dari 11 Briged dan 2 Briged bagi membantu mangsa banjir yg berada dalam kesulitan di Selangor khususnya di Klang, Sepang, Damansara & Bukit Lanchong. https://t.co/3MvIrrRLCJ pic.twitter.com/jMl6EXXu56

— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O) December 18, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“YB Hulu Kelang tidak perlu menjadi batu api mengajak mangsa-mangsa banjir saman Perdana Menteri. Sekarang masanya untuk kita bertindak menguruskan Fasa Pasca Banjir.
“Banyak rumah yang perlu dibersihkan, jalan yang perlu diturap semula, mangsa yang kita pastikan dapat bantuan daripada kerajaan. Saya sarankan Saari Sungib teruskan beri khidmat yang terbaik kepada semua,” katanya lagi.
#bencana banjir #Shahril Hamdan #Saari Sungib #politik
;