Banjir: BSMM Kelantan sediakan pasukan dapur memasak bergerak di PPS terpilih
Bernama
Disember 20, 2022 15:03 MYT
Disember 20, 2022 15:03 MYT
KOTA BHARU: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Kelantan mewujudkan pasukan dapur memasak bergerak bagi membantu mangsa banjir yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) negeri itu.
Naib Pengerusi 1 BSMM negeri Mohd Rozi Noor berkata insiatif memasak tersebut dilakukan bagi membolehkan mangsa banjir yang terkesan mendapat bekalan makanan mencukupi semasa berada di PPS.
"Bagi BSMM, kes banjir berada di bawah Program Bencana dan Kemanusiaan. Oleh itu, penyediaan masakan akan dilakukan untuk PPS yang terpilih dengan kapasiti lebih 100 mangsa banjir yang ditempatkan dalam tempoh sejam.
"Penilaian telah dibuat ke atas PPS yang telah dikenal pasti bertujuan memudahkan penyediaan memasak dan keutamaan diberikan kepada PPS yang tidak menyediakan tempat memasak," katanya kepada pemberita selepas melawat ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lundang di sini hari ini.
Mohd Rozi berkata pihaknya juga turut mendapat sumbangan bagi penyediaan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dana yang diberikan oleh individu serta syarikat korporat.
"Setiap kali banjir, pasukan memasak ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat seperti di PPS SK Gual Tinggi Rantau Panjang, Pasir Mas dan SK Tiong bagi misi bantuan banjir dengan menempatkan lima orang tukang masak yang ditempatkan di setiap PPS yang terpilih," katanya.
Beliau berkata BSMM turut melakukan aktiviti melibatkan bencana kemanusiaan, program ambilan servis dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
-- BERNAMA