Banjir Bosnia: Tiada rakyat Malaysia terkesan, Wisma Putra terus pantau rapat keadaan semasa

Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 5, 2024 08:20 MYT
Wisma Putra akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan akan memberikan maklumat terkini jika perlu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia terjamin. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di Sarajevo memantau rapat kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat di kawasan Perbandaran Jablanica, kira-kira 70km dari Sarajevo, pada Jumaat.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terkesan dalam bencana alam tersebut.
Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Bosnia-Herzegovina, mangsa yang terjejas, serta keluarga mereka yang terlibat dalam tragedi ini.
Malaysia juga berharap agar mangsa yang cedera segera pulih dan proses pemulihan harta benda serta infrastruktur dapat berjalan lancar.
Rakyat Malaysia yang berada di Bosnia dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Sarajevo melalui saluran yang disediakan.
Wisma Putra akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan akan memberikan maklumat terkini jika perlu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia terjamin.
#banjir #rakyat Malaysia #Bosnia #terkini
;