Banjir: Bomba saran orang ramai tangguh perjalanan di sekitar Lembah Klang

Bernama
Disember 19, 2021 18:26 MYT
Para pengguna jalan raya di Persiaran Tuanku Ampuan hari ini, masih menunggu banjir surut bagi meneruskan perjalanan mereka ekoran tersangkut akibat banjir kilat yang melanda di beberapa tempat sekitar Lembah Klang sejak semalam. - Foto BERNAMA
KLANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyarankan orang ramai menangguhkan perjalanan di sekitar Lembah Klang bagi mengelak kenderaan terkandas berikutan situasi banjir ketika ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ia susulan beberapa kawasan Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur dan Selangor masih menerima hujan yang menyebabkan paras air banjir meningkat.
"Buat masa ini tangguhkan dahulu perjalanan di kawasan khususnya di Lembah Klang memandangkan kita lihat ada beberapa kes mereka ini (pengguna jalan raya) terperangkap sampai berbelas jam dan tiada makanan serta minuman di dalam kereta.
"Kalau nak merancang perjalanan, kenal pasti dahulu lokasi yang dirasakan selamat dan tanyalah orang yang berada di kawasan persekitaran (yang ingin dituju itu)," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Teluk Gong di sini hari ini.
Mohammad Hamdan turut mengingatkan pegawai dan anggotanya supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri ketika menjalankan tugas dalam keadaan banjir ketika pandemik COVID-19.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana Banjir 2021: Segerakan usaha menyelamat
Beliau berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada semua pengarah bomba negeri terutama negeri yang terlibat dengan banjir.
"Kita percaya banyak tempat memerlukan bantuan dan kita akan memberikan bantuan sebaik mungkin. Kita juga akan pastikan dari segi giliran kerja, kebajikan, kesihatan serta keselamatan anggota diberi perhatian.
"Saya minta untuk dibuat penggiliran dan kita telah bekukan cuti di kawasan negeri yang terlibat dengan banjir," katanya sambil menambah seramai 27 anggota bomba juga sedang menjalani proses kuarantin ekoran dijangkiti COVID-19.
-- BERNAMA
#bomba #Lembah Klang #kenderaan terkandas #banjir #JBPM #Mohammad Hamdan Wahid #Kuala Lumpur #Selangor
;