Banjir: Bina rumah bertiang di tepi sungai, titah Al-Sultan Abdullah
Bernama
November 18, 2021 17:37 MYT
November 18, 2021 17:37 MYT
TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya reka bentuk rumah bertiang dijadikan contoh pembinaan kediaman di tepi sungai pada masa akan datang.
Baginda bertitah reka bentuk rumah bertiang itu juga merupakan antara langkah keselamatan sekiranya berlaku musibah banjir.
"...dan ini (pembinaan rumah bertiang) memudahkan (penduduk) jika musim banjir berlaku, di mana ia lebih selamat.
"Jadi mana-mana rumah yang nak dibina di tepi Sungai Pahang perlu mengambil kira ketinggian dan ia dapat menjadi contoh kepada rumah-rumah yang terdapat di persekitaran di tepi-tepi sungai ini," titah baginda.
Seri Paduka bertitah demikian selepas mendengar sembah taklimat rumah tersebut daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang Ir Hafizah Zakaria pada majlis penyerahan kunci rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada seorang penerima di Kampung Lompat di sini hari ini.
Terdahulu, ketibaan baginda pada pukul 11.30 pagi diiringi anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Al-Sultan Abdullah mengucapkan tahniah kepada penerima rumah berkenaan dan menitahkan supaya mereka menjaganya dengan baik.
Seri Paduka kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kediaman itu yang rumah mereka sebelum ini rosak teruk ketika banjir buruk melanda Pahang, awal tahun ini.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat bertiang berkeluasan 960 kaki persegi yang mempunyai ruang makan, tiga bilik, tiga bilik air selain lengkap serba-serbi disertakan perabot termasuk set bilik tidur.
Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada dua lagi penerima di dua kampung iaitu di Kampung Pangsenam dan Kampung Tanjung Pasir di sini pada sebelah petang ini.
Sementara itu, ibu tunggal Siti Rokiah Zainal Abidin, 51, yang menetap di Kampung Lompat di sini, sejak 50 tahun lepas berkata beliau yang tinggal bersama ibunya Ramlah Hitam, 81, tidak menjangka menerima kurniaan setelah rumah pusaka itu rosak teruk dilanda banjir awal tahun lepas.
"Emak sayalah orang yang paling gembira hari ini kerana dia memang tak sangka dalam umurnya macam ini akan terima kurniaan kediaman yang sangat selesa.
"Menjunjung kasih Seri Paduka Tuanku di atas pengurniaan rumah selesa ini," kata ibu kepada dua anak itu.
Sebelum ini, kediaman Siti Rokiah yang berdekatan dengan Sungai Pahang itu mendap dan sebahagiannya roboh ketika musibah banjir tersebut.
-- BERNAMA