Banjir: Biar nyawa dalam bahaya, Nurul Ain enggan tinggalkan 21 ekor kucing istimewanya
Firdaus Azil
Disember 30, 2021 20:17 MYT
Disember 30, 2021 20:17 MYT
SHAH ALAM: Biarpun nyawanya dalam bahaya, namun pengasas rumah perlindungan h haiwan S.I Home Shelter, Nurul Ain Abdul Hamid, enggan meninggalkan rumahnya yang ditenggelami air pada 18 Disember lepas.
Puncanya, ada sembilan ekor anjing dan 21 ekor kucing istimewa – buta mata dan lumpuh – yang perlu dibawa keluar segera, biarpun paras banjir yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam ketika itu, sudah melepasi ketinggian orang dewasa.
Tambahnya lagi, kerugian harta benda seperti barang elektrik, perabot dan lain-lain kelengkapan rumah boleh dicari, tetapi nyawa haiwan berkenaan, seperti manusia, hanya satu.
“Saya fikir kalau ada bantuan penyelamat, memang boleh ambil kita. Tapi untuk ambil haiwan seperti ini, keutamaan biasanya kepada manusia.
“Jadi saya bertekad takkan pergi kalau kucing-kucing tak akan ikut sekali. Saya fikir kalau air sampai ke bumbung ke apa ke, memang nak sampai ke bumbung. Saya fikir saya akan tinggal sampai ada bantuan untuk kucing-kucing saya,” katanya lagi.
Cerita Sebalik Berita: Usaha menyelamat haiwan pascabanjir
Mengimbas kembali hari pertama taman perumahan itu dinaiki air, Nurul Ain berkata, ketika itu, paras air sudah mencecah paha, maka dia terus mendapatkan bantuan rakannya yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda, untuk mengambil anjing-anjing itu terlebih dahulu.
Apabila kesemua anjing-anjing itu berjaya dipindahkan ke S.I Home Shelter kira-kira 1 kilometer dari rumahnya, misi untuk memindahkan 21 ekor kucing itu terjejas, kerana air dengan cepat melebihi paras kepala.
Nurul Ain berkata, dia dan suami terpaksa membawa kucing-kucing itu ke tingkat dua rumah mereka, bagi memastikan kesemua haiwan itu terselamat.
“Bila air surut sedikit sehingga ke paras leher, kami turun balik. Kita turun ke depan dalam beberapa ratus meter dan berjaya tumpeng bot tentera. Kita pergi ke shelter dan kita jumpa kawan yang mempunyai sampan.
“Sejurus berjaya mendapatkan sampan itu, saya dan beberapa orang teman tidak naik, tetapi kami perlahan-lahan tolak sampan itu sehingga sampai ke rumah saya. Dan akhirnya kami berjaya memindahkan kucing-kucing itu ke shelter tadi,” katanya lagi.
Untuk rekod, korban akibat banjir di Selangor mencecah 25 orang, dengan Taman Sri Muda, Shah Alam mencatatkan jumlah kematian paling tinggi.
Ketika Taman Sri Muda mula dinaiki air, tumpuan sukarelawan dan anggota penyelamat lebih terarah kepada usaha memastikan penduduk di situ dapat dikeluarkan sementara tiga perkongsian Nurul Ain melalui Facebook pada 19 Disember, nyata menarik perhatian.
Bagaimanapun, Nurul Ain mendedahkan, tiga catatan memohon bantuan itu, dilakukan atas pertolongan adiknya, kerana ketika liputan internet sangat teruk, menyebabkan dia terpaksa menghantar pesanan itu melalui aplikasi lain, sebelum dikongsi adiknya di Facebook.
“Saya tak jangka posting (hantaran) saya minta bantuan itu mendapat perhatian ramai. Saya tak ada niat nak tonjolkan diri, nak tunjuk saya mangsa dan sebagainya.
“Saya memang niat untuk meminta pertolongan, terdesak sangat-sangat. Saya hubungi bomba, talian 999 tak angkat. Maka saya ikhtiar minta mak saya untuk uar-uarkan. Internet pun tak ada masa tu, saya terpaksa minta adik saya tulis di Facebook,” katanya lagi.
Tinjauan Astro AWANI di S.I Home Shelter, Taman Sri Muda petang tadi, mendapati kesemua kucing termasuk 21 ekor kategori istimewa serta sembilan ekor anjing itu berada dalam keadaan yang baik, dan bantuan makanan, kata Nurul Ain lagi, melebihi apa yang diperlukan.
“Bantuan selepas air surut memang ada banyak, ada generator, bantuan dari beberapa macam artis pun ada. NGO haiwan seperti Persatuan Suara Haiwan Malaysia, malah media pun ada.
“Bantuan makanan daripada petshop, memang banyak bantuan. Saya fikir bantuan yang kita dapat Insya-Allah saya akan kongsikan dengan orang-orang lain yang turut menjadi mangsa banjir,” katanya lagi.