KOTA BHARU: Rakyat Kelantan yang ingin keluar dari negeri itu menuju ke Kuala Lumpur dinasihatkan supaya mendapatkan informasi atau maklumat terkini mengenai situasi terkini jalan-jalan utama.

Ini kerana menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Kelantan, Zainal @Jainal Madasin, berdasarkan informasi yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR), beberapa jalan utama dinaiki air sejak pagi tadi hingga kini.

Ikuti semua perkembangan mengenai banjir DI SINI!


Antara yang terjejas ialah jalan Kota Bharu - Pasir Puteh di Bukit Abal dan jalan Kota Bharu - Machang di Pulai Chondong yang dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

"(Manakala) jalan Kota Bharu - Kuala Krai (SMK Abdul Samad - Pangkal Gong), Jalan By Pass Machang - PPR Machang, Jalan Pengkalan Rakit - Batu Karang Masjid Padang Licin, masing- masing ditutup kepada semua kenderaan," katanya menerusi satu kenyataan.

Banjir | Keadaan terkini di Kelantan


Sementara jalan kampung dan dan alternatif lain seperti di Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai, Jalan Tok Bok - Selising di km 0.2, Pasir Puteh - Gong Kelih, Kampung Surau ke Kampung Cengal Pulas, Jalan Bukit Sireh - Kampung Bedal/Kuala Nal, jalan Sungai Durian - Chenulang Kuala Krai, ditutup kepada semua kenderaan ringan," menurutnya.

Sementara itu jumlah mangsa banjir yang berpindah terus meningkat kepada 3,011 mangsa dengan membabitkan 893 keluarga yang ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2.30 petang ini.

Amaran hujan berterusan turut dikeluarkan oleh Jabatan Metreologi Malaysia (MetMalaysia) di kesemua tempat di Kelantan

Amaran Hujan Berterusan (bahaya) dimana hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan sehingga Rabu, 21 Disember.