Banjir: Bayaran bantuan wang ihsan disegerakan - Perdana Menteri

Bernama
Mac 2, 2022 21:27 MYT
Berdasarkan rekod seramai 2,995 ketua isi rumah di Kelantan manakala 4,656 ketua isi rumah di Terengganu terjejas dan telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kali ini. - Gambar/ Bernama
PASIR MAS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 7,651 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di Kelantan dan Terengganu pada gelombang kali ini akan disalurkan segera.
Beliau berkata berdasarkan rekod seramai 2,995 ketua isi rumah di Kelantan manakala 4,656 ketua isi rumah di Terengganu terjejas dan telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kali ini.
"Kita jangka bayaran RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah akan dibayar secepat mungkin, kalau boleh sebelum mereka pulang ke rumah," katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat keadaan banjir di Jajahan Pasir Mas dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata setakat pukul 8 pagi tadi, di Kelantan jumlah mangsa banjir yang berpindah ke PPS adalah seramai 9,056 orang membabitkan 2,995 keluarga, manakala di Terengganu seramai 17,641 mangsa membabitkan 4,656 keluarga.
#banjir kelantan dan terengganu #Bantuan Wang Ihsan #Perdana Menteri #bayaran segera
;