Banjir: 'Bantulah juga penduduk di belakang, jangan tumpu rumah depan saja' - Mangsa
Ridauddin Daud
Disember 26, 2021 20:07 MYT
Disember 26, 2021 20:07 MYT
DENGKIL: Banjir sudah surut, kini penduduk di Kampung Bukit Changgang di sini sibuk membersihkan rumah yang teruk terjejas akibat banjir.
Di kebanyakan rumah, begitulah situasinya dan kehadiran bantuan luar termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat melegakan penduduk kerana dapat meringankan beban.
Begitupun, penduduk setempat berharap pihak berkenaan turut memberi tumpuan di kawasan yang lebih dalam di sesebuah perumahan atau kampung, tidak hanya bertumpu di lokasi berdekatan jalan utama sahaja.
Seorang penduduk, Muhammad Asrin Senin, yang kediamannya berada sedikit jauh ke belakang, berkata tidak menerima sebarang bantuan membersihkan rumah.
Justeru, dia hanya mengharapkan bantuan adik-beradik, saudara-mara dan rakan-rakan sahaja.
"Rumah ini memang kemas sendiri, saudara atau adik-beradik saja bantu. NGO tiada lagi setakat ini, mungkin mereka tak nampak.
"Belah depan kebanyakannya NGO bantu, senang mereka. Artis pun ada datang, untunglah mereka," katanya sambil tersenyum kepada Astro AWANI.
Keluhan sama turut disuarakan Siti Shahrilawati Sahari yang berharap agar pihak berkaitan datang membantunya membersihkan rumah.
Menurutnya, masih banyak kerja perlu dilakukan dan sekiranya ramai membantu, pasti kerja-kerja pembersihan dapat disudahkan dengan lebih cepat.
"Saya saja nak kemas rumah, dah tak tahan tengok rumah kotor. Bila kemas dengan tak ramai orang bantu begini, memang terasa penat sangat.
"Harapnya adalah orang bantu tapi siapalah kita ini. Memang diperlukan sangat bantuan," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Amilin pula berharap bantuan yang disampaikan boleh terus diberi kepada mereka, bukan diletakkan atau dikumpulkan di satu tempat sahaja.
"Bantuan itu kita terpaksa keluar untuk ambil. Kita difahamkan, bantuan NGO, mereka letak di satu tempat dan kita kena ambil.
"Rasa macam kecewa jugalah. Tapi setakat ini, adik-beradik bantu, kawan-kawan dari Universiti Malaya juga datang bantu.
"Cuma dari segi bantuan, kita harap boleh sampai kepada kami di sini," katanya.