Banjir: Bantuan sewajarnya bagi pekebun kecil terjejas - Zuraida
Bernama
Disember 20, 2021 16:13 MYT
Disember 20, 2021 16:13 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menyediakan bantuan sewajarnya buat pekebun kecil yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa negeri, kata Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan dana menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan beberapa organisasi bagi tujuan tersebut.
"Setakat ini kita belum menerima sebarang permohonan atau aduan berkaitan... kita akan lihat dan pertimbangkan nanti sekiranya ada keperluan khusus lain yang memerlukan peruntukan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Foundation of Women Community in Sports Malaysia (FOWCUS) di sini, hari ini.
Zuraida adalah Presiden FOWCUS yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi memartabatkan penglibatan golongan wanita dalam bidang sukan.
Negeri yang terjejas banjir dan melibatkan penempatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) ialah Pahang, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor.
Zuraida berkata, situasi banjir yang masih melanda di beberapa negeri berkenaan dijangka tidak memberi kesan besar kepada sektor komoditi negara terutama sawit dan getah.
"Mungkin dari aspek pekerja dan operasi sedikit terjejas pekerja iaitu kesukaran menguruskan ladang dan sebagainya," katanya. - BERNAMA