Banjir: Bantuan RM2,000 diberi kepada KIR yang pindah ke PPS - MB Kedah

Hasimi Muhamad
September 19, 2024 16:01 MYT
Setakat pukul 3 petang ini, 3,904 mangsa melibatkan 1,158 keluarga terjejas akibat banjir di tujuh daerah di Kedah. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dengan bencana banjir di Kedah dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akan diberikan bantuan sebanyak RM2,000 bagi meringankan beban mereka.
Daripada jumlah tersebut, RM1,000 akan disalurkan segera oleh Kerajaan Negeri Kedah melalui bantuan awal Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) kepada setiap KIR yang berpindah ke PPS.
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, penyelarasan bantuan tersebut adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit.
“Selain itu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan (Agensi Pengurusan Bencana Negara) sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi menasihatkan semua individu yang terbabit agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa, jika diarahkan berpindah ke PPS.
Ujar beliau, kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.
“Anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan.
“PKOB Negeri dan PKOB Daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari masa ke masa,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menambah ibu bapa juga dinasihatkan mengawasi anak masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Ini adalah ujian daripada Allah SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak lebih mudarat dan dipermudahkan urusan bagi kita semua,” tambahnya.
Setakat pukul 3 petang ini, 3,904 mangsa melibatkan 1,158 keluarga terjejas akibat banjir di tujuh daerah di Kedah.
#banjir kedah #bantuan mangsa banjir #Muhammad Sanusi Md Nor #PPS
;