Banjir: Bantuan pemulihan juga patut tertumpu kepada pemulihan ekonomi - Mercy Malaysia

Astro Awani
Mac 7, 2023 22:23 MYT
Norazam menjelaskan, bantuan dari segi peningakatan ekonomi juga perlu diberi keutamaan agar mangsa akan terus bangkit selepas dilanda bencana. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bantuan kepada mangsa banjir ketika fasa pemulihan tidak sepatutnya hanya menumpukan kepada wang ringgit atau membaik pulih kediaman semata-mata.
Exco Mercy Malaysia, Norazam Abu Samah menjelaskan, bantuan dari aspek peningkatan ekonomi juga perlu diberi keutamaan agar mereka akan terus bangkit selepas dilanda bencana.
Norazam menjelaskan, perkara itu pernah dilakukan bagi memastikan masyarakat yang terkesan dengan bencana banjir dapat bangkit dengan pantas.
"Ini antara perkaranya lah, bila kita tahu kita boleh juga membuatkan kelompok-kelompok yang mana kelompok ini kita boleh lagi kita tingkatkan dia punya kapasiti dengan latihan-latihan.
"Mungkin dari segi, contohnya kalau dia meniaga kita boleh tanya dia adakah mereka mempunyai strategi pemasaran, kalau tidak ada, kita kumpulkan.
"Ini kita lakukan supaya kita bagi kaedah yang lebih betul untuk dia pasarkan barang-barang jualan dia, ini juga termasuklah menjahit, bengkel dan sebagainya.
"Perkara ini sebenarnya boleh kita kenal pasti sebelum bencana berlaku, kita dah tahu di kampung kita ada berapa ramai yang meniaga dan berapa ramai yang ada bengkel," katanya, dalam program temu bual, Agenda AWANI yang disiarkan pada Selasa.
Beliau menjelaskan kaedah seperti ini telah dilaksanakan di Hulu Langat, Selangor dan ia boleh digunakan di negeri-negeri lain yang berdepan bencana banjir.
Norazam menjelaskan, apa yang dilakukan di Jepun selepas banjir dan bencana lain sewajarnya dicontohi oleh semua pihak ketika fasa pemulihan.
"Apa saya cuba tekankan disini, kalau kerjasama boleh dibuat bersama, contohnya kalau di Jepun, NGO, jurutera dan komuniti berjalan membuat satu kajian disebut tinjauan lapangan berkonsepkan tinjauan kampung," katanya lagi
Menurut Norazam kaedah tersebut lebih berkesan dan sepatutnya telah digunakan dalam usaha mengatasi masalah banjir yang sering berlaku.
#Norazam Abu Samah #banjir johor #fasa pemulihan selepas bencana banjir #exco Mercy Malaysia
;