Banjir: Bantuan disalur secara bersasar mengikut keperluan kawasan - GPM

Astro Awani
Januari 7, 2021 13:11 MYT
Pihak kerajaan dan NGO dilihat lebih bersedia untuk menghadapi bencana banjir pada tahun ini walaupun berdepan cabaran COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengagihan bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir dilakukan secara bersasar bagi memastikan ia disalurkan mengikut keperluan kawasan-kawasan terbabit.
Menurut Global Peace Mission (GPM) Malaysia, pengagihan bantuan diseragamkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada pusat pemindahan sementara (PPS) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.
Selain itu, kata Ketua Pegawai Operasi GPM Syahrir Azfar Saleh, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut mengatur bantuan yang diperlukan di setiap peringkat, bagi kawasan yang terjejas banjir.
"Di peringkat NADMA, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sendiri akan memaklumkan apa yang mereka telah hantar dan apa yang diperlukan (di kawasan terbabit).
"Jadi, penyeragaman maklumat itu akan berlaku. Dan, pembaziran seperti lambakan makanan dan pakaian, InsyaAllah, kita dapat kurangkan," katanya kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Syahrir berkata, GPM sendiri menyediakan 'warehouse' bagi memudahkan orang ramai menghulurkan bantuan, sebelum diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Jelas beliau lagi, antara bantuan yang disalurkan termasuk makanan, peralatan kebersihan, susu bayi, lampin pakai buang serta keperluan asas untuk beribadat.
"Perkara sebegini diambil penting di peringkat GPM dan kita akan mensasarkan bantuan dari segi makanan, ibadah, peralatan kebersihan dan bekalan air bersih.
"Pada masa sama, kita sedang mengatur pasukan sukarelawan daripada universiti-universiti untuk turut meringankan beban mangsa banjir, membersihkan rumah, masjid dan sekolah," katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa para sukarelawan yang terbabit akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan COVID-19.
Katanya lagi, pihak kerajaan dan NGO dilihat lebih bersedia menghadapi bencana banjir pada tahun ini walaupun berdepan cabaran COVID-19.
Sehubungan itu, orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh mengunjungi 'warehouse' GPM di Taman Melati atau layari laman sesawang jomsedekah.com.
#NGO #PPS #COVID-19 #PKPP #GPM #Global Peace Mission #Syahrir Azfar Saleh #seragam #maklumat #bantuan #Pahang #pusat pemindahan #sekolah #banjir #bekalan air #kerajaan #SOP #mangsa #operasi #sukarelawan
;