Banjir: Ban tanah pecah, penduduk damba penyelesaian mampan
Fahmi Izuddin
November 17, 2022 14:05 MYT
November 17, 2022 14:05 MYT
DENGKIL: Penduduk di Kampung Cemperai di sini mengharapkan jalan penyelesaian dan tindakan proaktif oleh pihak berkuasa untuk menaik taraf ban sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan itu.
Pengerusi Komuniti Kampung Cemperai, Ashraf Sulaiman amat berharap bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Kami sebenarnya berharap sangat isu banjir di sini diselesaikan. Namun pihak kerajaan seakan-akan lambat menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Azman Mohd Anorwar berkata, ini bukan kali pertama banjir berlaku malah sudah 12 kali sepanjang tempoh dua tahun.
“Sebelum ni rekod adalah 11 kali banjir melibatkan 60 hingga 70 rumah. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada buat ban, tapi guna tanah. Memang tak tahan lama.
"Trend dekat sini, kalau tak hujan pun dia memang akan naik air.. Bila air dari Kajang, Hulu Langat dah penuh, dia akan turun ke sini dalam dua hingga tiga jam," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Yusuf Hanif meminta pihak berkuasa untuk menilai semula peruntukan yang pernah dijanjikan untuk membaik pulih ban sekali gus menyelesaikan isu berkenaan.
"Kita minta kerajaan tak kiralah siapa pun, buat sesuatu untuk kurangkan risiko banjir di sini supaya tidaklah orang kampung menjadi mangsa setiap tahun.
"Tahun lepas punya banjir pun kami tak dapat peruntukan yang dijanjikan oleh kerajaan. Perlu dinilai dan diperhatikan semula. Waktu banjir (pemimpin) tak turun, lepas banjir baru turun... konon-konon bagi bantuan dan selepas itu hilang," kesalnya.
Yusuf juga berkata, bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan juga perlu lebih daripada sekadar bantuan makanan.
"Kita tak nak kerajaan datang hanya bagi bantuan sekadar beras, barang keperluan.. tak cukup bagi kami. Apa yang penting adalah bagaimana menyelesaikan masalah banjir ini dengan berkesan," jelas Yusuf.
Difahamkan, banjir di Kampung Cemperai bermula jam 4 pagi Khamis susulan hujan lebat dan amaran kepada penduduk mula dikeluarkan jam 5 pagi.