Banjir Baling: Warga emas sebak kenang rumah lenyap dihanyut kepala air
Hasimi Muhamad
Julai 10, 2022 18:15 MYT
Julai 10, 2022 18:15 MYT
"RASA macam nak mati dah mak cik ni...".
Ungkapan itu bukan daripada drama televisyen, tetapi luahan kesedihan mendalam yang lahir daripada lubuk hati Che Mah Wahab, 72, salah seorang mangsa kejadian banjir dan kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini.
Betapa luluh hati warga emas ini apabila satu-satunya tempat berteduh dan berlindung musnah sekelip mata akibat bencana alam tersebut.
Tidak pernah terlintas di fikiran rumah yang didiaminya di Kampung Iboi, sejak puluhan tahun 'lenyap' dek dihanyut kepala air.
Mungkin benar, ini adalah takdir yang sudah tertulis dan perlu diterima Che Mah dengan berlapang dada.
Namun seminggu berlalu, masa itu tidak cukup rasanya untuk Che Mah menelan segala pahit, khususnya ketika umat Islam bergembira menyambut Aidiladha hari ini.
"Tak ada semangat (nak raya), tak serupa dulu. Jadi bila tak sama, (raya) tak seronok. Pasal pindah dari rumah...," tuturnya yang tidak dapat menahan sebak mengenang insiden pada Isnin lalu.
"Sedih... minta maaf nah. Makcik jadi hilang akal," tambahnya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI, hari ini.
Raut wajah Che Mah jelas memancarkan keluh-resah kerana dia tidak lagi boleh 'pulang' ke rumah lamanya, yang tersimpan seribu satu kenangan bersama keluarga tercinta.
Akui wanita ini lagi, anak-anak menjadi sumber kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan.
"Jadi tengok barang-barang, semuanyalah rosak segala-galanya... (Mak cik) jadi tiada semangat dah pasal rasa macam nak mati dah makcik ni.
"Nasib baik anak (salah seorang anak bersikap) tegas sikit," kongsinya lagi.
Kehidupan Che Mah mungkin tidak semewah insan lain, kerana dia menyara kehidupan dengan bergantung kepada hasil ternakan dan bantuan anak-anak.
Khudratnya juga tidak lagi sekuat dulu untuk keluar mencari nafkah.
"Ayam itik ini tak payah kiralah, berpuluh ekor (mati)... Mak cik tak larat kerja dah, duk harap tumpang hak tu ja (ternakan). (Bil) Api, air anak-anak yang tolong sikit-sikit, makan minum pun serupa, mak cik jual ayam, jual itik untuk beli makan," tambah Che Mah.
Dalam masa yang sama, dia turut mengakui tidak pernah berdepan insiden kepala air seperti yang berlaku baru-baru ini.
"Masalah banjir dulu tak macam tu. Ini sampai berapa minggu dah, macam mana nak buat? Sampai bila? Itulah yang sedih," katanya.
Dalam kejadian pada 4 Julai lalu, beberapa kawasan di Baling dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam menyebabkan 1,490 penduduk terjejas selain meragut tiga nyawa.