Banjir Baling: 'Tiada kematian akibat banjir, jangan sebar berita palsu' - KPD

Abd Hadi Che Awang
Julai 4, 2022 07:45 MYT
Superitenden Shamsudin Mamat memaklumkan, ianya termasuk berita yang ditularkan mengenai kematian seorang mangsa akibat bencana berkenaan. - Astro AWANI
BALING: Orang ramai terutama pengguna media sosial diingatkan tidak menyebarkan berita-berita palsu mengenai kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di kawasan Kampung Iboi dan beberapa kampung sekitar Kupang, Baling.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitenden Shamsudin Mamat memaklumkan, ianya termasuk berita yang ditularkan mengenai kematian seorang mangsa akibat bencana berkenaan.
Tambahnya, setakat ini hanya tiga mangsa dilaporkan hilang selepas satu laporan dibuat pada petang Isnin selain dua mangsa disahkan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Baling.
"Saya berharap kepada orang ramai (untuk) tidak menyebarkan perkara yang tidak betul berkenaan kejadian ini.
"Saya difahamkan ada berita (atau cerita di media sosial) melaporkan (satu) mayat telah dijumpai, itu tidak benar sama sekali.
"Buat masa ini hanya tiga mangsa hilang dalam kejadian ini dan usaha mengesan kedudukan mangsa sebelum kejadian berlaku (juga sedang giat dijalankan)," katanya.
BACA: Banjir di Baling: 3 sekeluarga hilang dihanyut kepala air
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kupang awal pagi Selasa.
Dalam perkembangan berasingan, Shamsudin memaklumkan bahawa satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri yang akan dipengerusikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan diadakan sekitar jam 9 pagi ini.
Ianya adalah bagi menentukan tindakan selanjutnya bagi membantu mangsa yang terjejas selain menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dilaporkan hilang.
#banjir #berita palsu #bencana #maut #banjir baling
;