Banjir Baling: Sebarang 'dosa baharu' berkaitan hutan tidak akan dikompromi - Muhammad Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Julai 26, 2022 19:15 MYT
Julai 26, 2022 19:15 MYT
ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah berikrar akan memastikan segala kesilapan yang dilakukan beberapa pentadbiran sebelum ini akan diperbetulkan segera melibatkan peringkat demi peringkat.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, pentadbirannya akan memastikan sebarang 'dosa baharu' berkaitan hutan tidak akan dikompromi lagi.
Menurut beliau, antara langkah yang diambil ialah melakukan semakan semula ke atas semua kelulusan pembangunan ladang hutan ganti sedia ada yang dibuat antara 2013 hingga 2019 melibatkan seluas kira-kira 22,000 hektar di seluruh negeri itu.
“Ia bagi memastikan setiap tindakan yang diambil selari dengan dasar kerajaan negeri dan undang-undang yang telah dikuatkuasakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Majlis Tanah Negara,’ kata Muhammad Sanusi kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.
Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas jawapan Menteri keTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pagi tadi berhubung tragedi banjir yang melanda Baling.
Tambah Muhammad Sanusi, kerajaan negeri juga akan meneliti laporan yang diterima daripada jabatan-jabatan teknikal berhubung langkah-langkah pencegahan serta keselamatan yang telah dicadangkan oleh KeTSA.
Jelasnya, semua langkah yang perlu akan dilakukan untuk melindungi orang ramai dan menjamin keselamatan penduduk di sekitar kawasan berkenaan dan kawasan-kawasan lain yang berada pada status berisiko.
Terdahulu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN - Baling) di Dewan Rakyat mahu mengetahui kaedah penyelesaian yang dirancang bagi memastikan keselamatan rakyat dijamin khususnya penduduk di sekitar Gunung Inas, Baling, berikutan insiden kepala air tersebut.
Menjawab soalan itu, Takiyuddin berkata, kawasan persekitaran Gunung Inas, Kupang, Baling masih tidak stabil.
Selain itu, kawasan berkenaan juga, kata beliau, masih terdedah kepada ancaman tanah runtuh serta jatuhan batuan berikutan kehadiran bongkah batuan yang longgar dan tergantung di lereng gunung.